Setiap sen dari sumbangan anda merupakan amanah buat kami

[gtranslate]

Kemanusiaan….

Apa yang kita faham mengenai perkataan “kemanusiaan”?

Adakah kita sekarang ini masih bersifat manusia dan mempunyai rasa kemanusiaan di dalam diri kita?

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kemanusiaan berasal dari perkataan manusia – [ma.nu.sia] | ماءنسي  bermaksud makhluk yg mempunyai akal budi, insan, orang: ada pun jenis yg tinggi sekali antara segala haiwan ialah manusia (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Manakala, kemanusiaan [ke.ma.nu.sia.an] | کماءنسياءن  memberi definisi perihal manusia, sifat-sifat manusia: Contoh ayat adalah “tetapi sekarang ia pandai berhujah tentang manusia dan kemanusiaan, tentang dunia dan keduniaan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Kita bersyukur kerana dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, negara yang tetap berusaha untuk mempertahankan kedamaian dan keamanan di dalam komuniti yang berbilang bangsa dan agama.

Walaupun sesekali kita dikejutkan dengan isu perkauman, sikap rasis, membezakan antara bangsa dan agama yang mana menjadi momok yang menakutkan di kalangan masyarakat, ianya masih berada di dalam lingkungan yang terkawal. Kita sebagai masyarakat Malaysia yang sentiasa menginginkan kehidupan yang aman dan damai dan kerajaan yang sentiasa berusaha untuk mengekalkan keharmonian tersebut menjadi antara faktor kejayaan di dalam mengekalkan keamanan dan kedamaian di Malaysia. Sikap toleransi, bekerjasama dan memahami budaya serta agama yang berlainan menjadi contoh dan teladan kepada negara-negara lain. Prinsip Rukun Negara yang telah diterapkan dengan kuat di dalam setiap diri kita sejak dari kanak-kanak lagi mungkin juga menjadi faktor utama di dalam keharmonian hidup di negara kita.

Jika kita melihat konflik Syria yang berterusan selama 10 tahun, bermula dari tahun 2011 sehingga 2021, ianya amat menyedihkan dan memberi kesan mendalam khususnya kepada anak-anak muda Syria dan kanak-kanak. Perarakan dan rusuhan, pemberontakan, pemusnahan harta-harta awam dan kerajaan, pertempuran demi pertempuran, mengakibatkan ramai kehilangan nyawa dan harta benda. Ramai yang terpaksa menjadi pelarian meninggalkan tanahair dan merempat di negara-negara lain untuk mencari perlindungan. Yang lebih terkesan adalah kanak-kanak yang masih belum mengerti sebuah kehidupan. Mereka tidak berpeluang untuk menikmati kehidupan yang selesa dan tidak mengenal erti kedamaian dan keamanan.

Tiada kebaikan yang dapat dilihat dan dipelajari dari kesan peperangan saudara di Syria. Konflik dalaman yang berterusan berpunca dari perebutan kuasa atau peperangan saudara di Syria yang berlaku sejak tahun 2011, menyebabkan rakyat Syria menjadi pelarian dan menjalani kehidupan yang sangat sukar. Anak-anak kehilangan ibu bapa, mengalami kecacatan kekal, kurang nutrisi pemakanan seimbang dan hilang kemudahan untuk mendapat pendidikan dan kehidupan yang sempurna. Selama 10 tahun peperangan saudara berlaku di Syria, kebanyakan kanak-kanak di Syria tidak pernah menjalani kehidupan yang baik dan hak-hak mereka diabaikan sama ada dari segi pendidikan, pemakanan yang sihat, tempat tinggal yang selesa dan keupayaan untuk mereka menjalani kehidupan aman dan damai.

Dengan keadaan dunia sekarang ini yang sedang dilanda pandemik Covid-19, Syria tidak terkecuali dari mengalami risiko dijangkiti Covid-19 terutamanya kanak-kanak. Mengikut laporan UNICEF, pada akhir Mac 2021, hampir 48,000 kes COVID-19 telah dilaporkan, dengan kemudahan perubatan yang terhad, jumlah jangkitan penyakit Covid-19 mungkin lebih tinggi berbanding yang telah dilaporkan.

Bagi yang pernah berjumpa dengan keluarga dan anak-anak Syria yang menjadi pelarian di Malaysia, di sebalik kesusahan luar biasa yang mereka pernah alami, mereka mempunyai semangat yang luar biasa untuk meneruskan kehidupan dan berjuang untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Kita mengharapkan mereka yang berada di Syria terutamanya kanak-kanak dan orang muda di seluruh Syria dapat bertahan dan berjuang. Kita juga mengharapkan mereka akan sentiasa berusaha untuk mencapai kedamaian dan berjuang membina kehidupan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri dan masyarakat mereka di sana.

Sesungguhnya dunia tidak pernah sunyi daripada konflik, peperangan dan perebutan kuasa. Konflik kemanusiaan bukan hanya berlaku di Syria. Ianya juga berlaku di Yaman, Palestine, Myanmar, Kashmir, Afghanistan, Mali, Republik Afrika Tengah, Libya, Colombia dan Sudan. Namun, ianya tidak memberi kehidupan yang lebih baik kepada rakyat negara tersebut. Jika setiap dari manusia yang berada di muka bumi ini mempunyai satu matlamat untuk kehidupan yang aman dan harmoni di muka bumi ini, tidak mengambil kesempatan di atas kelemahan yang lain dan mempunyai rasa kemanusiaan, hormat menghormati di antara satu sama lain, dunia akan menjadi tempat yang paling baik untuk semua orang menjalani kehidupan.

“Manusia harus ingat bahawa kedamaian bukanlah pemberian Tuhan kepada makhluk-Nya, kedamaian adalah hadiah manusia untuk satu sama lain.” ~ Elie Wiesel

Ingat kemanusiaan, Ingat Cinta Syria Malaysia.

Profil Penulis
Robiah binti Kamal
Sukarelawan di Cinta Syria Malaysia

Penulis merupakan penulis jemputan yang sangat aktif dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia.

Share

Baca juga

Misi Bantuan Banjir

Team CSM berkesempatan untuk turun ke Raub menjadi sukarelawan bersama GPM & MFS Care. Persahabatan baik antara NGO ini dimanfaatkan agar lebih ramai rakyat Malaysia

Teruskan membaca